Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
2017 Papar Pendirian Pelik Kelompok Pro-Perdagangan Bebas Juarai Dasar perlindungan
Last update: 29/12/2017

Oleh Noor Soraya Mohd Jamal



KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- 2017 menjadi tahun yang agak pelik bagi ekonomi dunia dan sebahagian besar perjanjian antarabangsa apabila pihak yang memperjuangkan perdagangan bebas dan terbuka berubah pendirian dengan melaksanakan dasar perlindungan, meningkatkan sentimen anti-globalisasi dan menekankan ekonomi untuk kepentingan pasaran dalaman.

Ketika latar belakang itu lebih ketara di negara maju Eropah dan Amerika Syarikat, negara membangun seperti China, India dan blok ASEAN sebaliknya, semakin ke hadapan untuk menerima dasar multilateral dan komited ke arah perdagangan bebas dan globalisasi.

Semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang berlangsung di Vietnam baru-baru ini, Perdana  Menteri Datuk Seri menyuarakan kebimbangan mengenai kemunculan anti-globalisasi dalam perkumpulan itu yang bercanggah dengan aspirasi asal kerjasama tersebut.

"Ironinya, ia bertentangan dengan falsafah keseluruhan dan tujuan paling penting pembentukan APEC. Kita perlu menyelami kembali semua itu semasa sidang kemuncak  APEC ini," katanya semasa Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC, yang turut menyaksikan Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping menyampaikan ucapan masing-masing.

Sentimen meneliti semula dasar pembentukan satu-satu pertubuhan itu turut bergema di mesyuarat Pertubuhan  Perdagangan Dunia (WTO) di Argentina awal bulan ini, yang berasaskan daripada keperluan melakukan peralihan paradigma utama dan berkisar mengenai persoalan pembangunan serta kaitannya demi kemajuan perdagangan masa depan.

Semasa menyampaikan ucapan penutup, Ketua Pengarah WTO, Roberto Azevedo menyuarakan kebimbangannya dan menggesa pertubuhan itu menyelami  kembali tujuan penubuhan mereka selepas persidangan peringkat menteri dwitahunan berakhir tanpa sebarang 'perjanjian substantif' dalam kalangan 164 negara anggota.

Situasi sama turut dihadapi mesyuarat peringkat menteri APEC yang hampir gagal mengeluarkan kenyataan bersama secara tradisinya mengenai hasil mesyuarat disebabkan pendapat yang berbeza-beza, terutama berkaitan isu perdagangan saksama dan penggunaan perkataan ?perlindungan?.

Di luar sidang kemuncak itu, rundingan untuk mengekalkan ibu segala perjanjian perdagangan 'Perkongsian Trans-Pasifik (TPP)' tanpa penyertaan AS, hampir 'merampas' tujuan sebenar persidangan utama itu.

Pihak terlibat mencapai kesepakatan meneruskan usaha itu selepas beberapa perbincangan, dengan menyaksikan ketidakhadiran Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau semasa Mesyuarat Pemimpin-pemimpin TPP hampir mengagalkan usaha menghidupkan  semula perjanjian itu.

Sebelas negara berkenaan akhirnya  bersetuju terhadap 'elemen teras' dan TPP kini dijenamakan sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik atau CPTPP.

Ia akan dikuat kuasa sebaik sahaja enam negara meratifikasikannya.

Mengenai kedudukan Malaysia, Perdana Menteri berkata, lebih banyak perkara yang perlu diselesaikan bagi CPTPP.

"Selepas ini, akan ada program kerja yang perlu diselesaikan, dan Malaysia, sudah pasti akan  terus menangani dasar ekonomi sosial yang sensitif seperti kepentingan bumiputera dan langkah  untuk kesihatan awam.

"Kita tidak akan mengorbankan agenda domestik yang penting dalam persetujuan untuk menerima pakai TPP," kata Najib, dan menambah, bahawa Malaysia memperoleh kebanyakan penggantungan yang dimintanya, terutama dalam perkara berkaitan farmaseutikal dan hak cipta.

Kesimpulan daripada usaha meneruskan perjanjian itu dengan CPTPP menandakan liberalisasi perdagangan masih boleh bergerak maju meskipun keadaan ekonomi antarabangsa yang mencabar, dengan banyak perjanjian perdagangan bebas dua hala dan perjanjian perdagangan serantau dirundingkan lagi.

Memandangkan AS mengutamakan 'American first' dalam ekonomi terbesar dunia itu, semakin banyak negara beralih kepada China untuk memeterai perjanjian perdagangan lain, seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan 16 anggotanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, menteri dan pegawai kanan mengalami tekanan untuk memuktamadkan blok perdagangan terbesar dunia itu, yang merangkumi hampir  satu pertiga daripada ekonomi global, menjelang 2018.

"Kami masih berhadapan kesukaran untuk merapatkan jurang besar antara negara peserta. Ada dua pandangan utama yang pertama tahap cita-cita yang rendah manakala yang kedua, sebahagian besarnya negara maju, bercita-cita tinggi," katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan sidang kemuncak yang berkaitan.

RCEP meliputi perdagangan barangan dan perkhidmatan, termasuk kewangan dan kemudahan telekomunikasi, pelaburan, ekonomi, kerjasama teknikal, harta intelek, e-dagang serta penyelesaian pertikaian dan persaingan.

Tidak seperti Perjanjian TPP, RCEP tidak merangkumi isu pemerolehan kerajaan, tenaga kerja dan alam sekitar.

Sepanjang 2017, Malaysia terus berusaha mendapatkan peluang pertumbuhan dalam ASEAN dengan kekal komited kepada visi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) selain meliberalisasikan lagi kawal selia perdagangan dan pelaburan.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, eksport Malaysia meningkat selepas penubuhan AEC pada 2015, dengan eksport keseluruhan ke pasaran ASEAN bertambah kepada RM230.93 bilion pada 2016 daripada RM213.4 bilion pada 2014.

Blok itu turut mengalu-alukan pengukuhan kerjasama ekonomi dengan Rakan Dialog  melalui Pelan Hala Tuju Kerjasama Strategik 10 tahun ASEAN-Jepun yang diperbaharui, pelaksanaan US-ASEAN Connect, Pelan Kerja 2016-2020 untuk melaksanakan Deklarasi Bersama ASEAN-Kanada mengenai Perdagangan dan Pelaburan, Program Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-Rusia Pasca 2015, dan Program Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-EU 2017-2018.

Melangkah maju, Malaysia secara aktif akan terus menerima globalisasi dan memperluaskan rangkaian globalnya menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas multilateral dan dua hala, sekali gus membolehkan pelabur di Malaysia meraih akses pasaran lebih besar bagi produk dan perkhidmatan mereka.

Sebagaimana ditegaskan Najib semasa mesyuarat APEC di Vietnam, globalisasi bukan satu pilihan, atau sesuatu yang boleh dielakkan oleh sesebuah negara tanpa risiko dipinggirkan.

"Anda perlu menerima perubahan, berdepan dengannya dan menyahut cabaran serta membuat dasar dan program yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata, globalisasi adalah baik untuk Malaysia dan dunia namun ia tidak boleh dibiarkan tidak terkawal tanpa campur tangan positif.

-- BERNAMA


 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution