Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Beberapa Pegawai Imigresen Di KLIA Ditahan Kes Bolos Warga Asing
Last update: 12/12/2017

PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Imigresen telah menahan beberapa pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang disyaki terlibat melakukan tindakan tidak berintegriti berikutan laporan pembolosan warganegara asing khususnya warga Bangladesh melalui sindiket terancang di KLIA.


Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata pegawai berkenaan masih di tahan di ibu pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut dan pihak jabatan telah mengambil tindakan dalaman.


Tanpa mendedahkan bilangan pegawai yang ditahan itu, beliau berkata: "Apa yang pasti, tindakan serta-merta sudah diambil dengan penahanan pegawai terbabit dan mereka masih disoal siasat. Sekiranya, terbukti mereka terlibat dalam sebarang pelanggaran integriti, tindakan tegas dan pencegahan akan dikenakan termasuk buang kerja.


"Tetapi ia bergantung kepada sejauh mana pembabitan mereka dalam perkara ini. Mengenai tindakan dalaman itu, saya tidak mahu mendedahkan secara spesifik tetapi pasti ada tindakan tegas. Kami akan pasti lakukan tangkapan ke atas pegawai dan dalang terlibat kalau jelas terlibat," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini, hari ini.


Khamis lalu, sebuah akhbar tempatan mendedahkan buruh haram warga Bangladesh diseludup masuk ke negara ini melalui KLIA setiap hari diuruskan empat sindiket besar beroperasi di Kuala Lumpur dan Dhaka, Bangladesh.


Sindiket terbabi dikatakan mampu mendapat keuntungan RM5.2 juta setahun dengan mengenakan bayaran antara RM15,000 ke RM20,000 setiap seorang termasuk wang 'pelincir' kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai Jabatan Imigresen serta pihak Kedutaan Malaysia di Dhaka.


Mustafar berkata pihaknya juga telah menghantar satu pasukan unit tindakan khas ke Bangladesh pada Ahad lalu yang dianggotai oleh pegawai Bahagian Visa, Pas dan Permit, Bahagian Integriti dan Bahagian Khidmat Ekspatriat bagi memperkukuhkan prosedur operasi standard pengeluaran visa kepada pelawat dari Bangladesh.


Katanya, beliau sudah berbincang dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam berhubung pendedahan laporan pembolosan warganegara Bangladesh di KLIA, dan KPN berpendapat, masih awal untuk didedahkan mengenai kes ini.


"Apabila dikatakan ada pembolosan, dalang di luar melakukannya untuk mengaut laba, keuntungan dan imbuhan manakala dalang di dalam, pasti kita ambil tindakan tegas.


"Jadi, beberapa tindakan semakan yang memerlukan penelitian lanjut termasuk orang lain yang terlibat dibuat di KLIA malah tindakan bersama Polis Diraja Malaysia akan diteruskan," kata beliau.


Mustafar menegaskan pihaknya  sentiasa peka dengan situasi sebegini dan langkah-langkah proaktif dilakukan bagi memastikan keselamatan negara terjamin tanpa berkompromi, dengan dasar sedia ada diperketatkan bagi memastikan pintu masuk negara tidak mudah dibolosi.


Menurutnya, tindakan lebih tegas dan konsisten dilakukan oleh pihaknya dalam usaha mengesan ejen-ejen dan sindiket yang dipercayai cuba untuk memperalatkan pegawai-pegawai Imigresen terutama di pintu masuk.


"Dulu, kita ketahui kononnya lambakan warga Bangladesh yang datang bekerja di Malaysia dan saya telah menghantar pasukan penyiasatan ke Dhaka dan selepas itu, dapat keizinan daripada timbalan perdana menteri, kita hantar satu pasukan petugas khas untuk mempercepatkan proses pekerja asing masuk ke Malaysia. Kita tidak mahu ada 'backlog'. Ini telah diselesaikan," katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Imigresen bersedia menerima permohonan daripada majikan untuk mendapatkan permit khas pembantu rumah asing yang boleh dibuat melalui sistem dalam talian mulai 1 Jan tahun depan.


"Proses ini adalah cepat, tepat dan jimat, dan permohonan yang dibuat tanpa melalui ejen atau orang tengah mengambil tempoh tujuh hingga 16 hari dengan syarat semua dokumen sokongan yang disediakan itu mematuhi prasyarat permohonan itu," katanya.


Mustafar berpendapat langkah pengambilan secara terus pembantu rumah dari negara sumber dapat mengurangkan kos dan beban majikan serta mengekang kegiatan permerdagangan dan perhambaan manusia daripada terus berleluasa.


Mulai 1 Jan depan, majikan hanya perlu membayar RM3,500 hingga RM4,000 yang melibatkan kos levi, pas lawatan, (kerja sementara), visa dan proses yang ditetapkan mengikut negara dan kos tiket penerbangan berbanding bayaran kepada ejen mencecah antara RM12,000 hingga RM18,000.


Dalam pembentangan Bajet 2018 , Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan kini memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.


-- BERNAMA  



 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution