Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Dewan Rakyat Lulus RUU Berkaitan Sumber Biologi
Last update: 01/08/2017

KUALA LUMPUR 1 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (ABS) yang bertujuan mengawal selia akses kepada sumber biologi negara, diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.



Rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, diluluskan setelah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ronald Kiandee.



Wan Junaidi ketika menggulung perbahasan berkata RUU tersebut penting bagi membolehkan Malaysia meratifikasi 'Nagoya Protocol on Access to Genetic Resources and the Fair and Equitable Sharing of Benefits Arising from Their Utilisation' (Protokol Nagoya mengenai Akses kepada Sumber Genetik dan Perkongsian  Faedah Yang Adil dan Saksama Hasil Daripada Penggunaannya).



"Malaysia masih belum meratifikasi Nagoya Protocol kerana undang-undang ABS perlu diwujudkan di peringkat domestik terlebih dahulu dan perkara-perkara yang digariskan dalam protokol tersebut perlu dipatuhi  sebelum pertimbangan menandatanganinya dibuat," katanya.



Nagoya Protocol adalah protokol antarabangsa mengenai ABS yang telah diterima pakai di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi pada tahun 2010 setelah dirunding selama lebih kurang enam tahun.



Menurut Wan Junaidi, undang-undang ABS juga selaras dengan hasrat negara untuk menjana kekayaan baharu daripada sumber biologi seperti yang digariskan dalam Dasar Kepelbagaian Ekonomi Kebangsaan 2016-2025, Model Baharu Ekonomi dan Dasar Bioteknologi Negara.



Dalam pada itu, beliau turut berkata mekanisme penggantian tanah hutan simpan juga akan diperuntukkan di dalam undang-undang ABS itu dengan tanah-tanah hutan simpan yang telah diambil bagi apa pun tujuan, mestilah diganti pada masa yang sama bagi memastikan usaha penanaman semula hutan tidak tergendala.



"Sebelum ini memang telah ada mekanisme untuk menggantikan tanah yang telah diambil. Tetapi, tidak ada tempoh masa yang ditetapkan untuk melakukan penggantian tersebut, menyebabkan tanah gersang dan tidak subur untuk usaha penanaman semula hutan," jelasnya.



Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau menjelaskan RUU ini juga turut mengawal dan melindungi biodiversiti negara daripada dieksploitasi saintis luar negara khususnya tumbuhan herba yang bermanfaat kepada kesihatan.



"Ia memperuntukkan hukuman sehingga RM500,000 dan 10 tahun penjara bagi saintis luar yang didapati mengeksploitasi biodiversiti negara," katanya.



-- BERNAMA

 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution