Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Bangkok Nasihat Penduduk Selatan Thailand Usah Panik Berikutan Serangan Bersenjata Terkini
Last update: 05/04/2017

Oleh Mohd Haikal Mohd Isa


BANGKOK, 4 April (Bernama) -- Timbalan Menteri Pertahanan Jen Udomdej Sitabutr menasihati penduduk di selatan Thailand agar tidak panik berikutan beberapa kejadian serangan bersenjata terhadap pasukan keselamatan dalam tempoh beberapa hari lepas.

Dalam kejadian awal pagi semalam, kira-kira 30 lelaki bersenjatakan senapang dan bom buatan sendiri melancarkan serangan terancang terhadap sebuah pos tentera dan polis di pekan Kroh Pinang di Yala, yang mengakibatkan 12 anggota pasukan keselamatan cedera.

Kejadian semalam adalah susulan kepada satu lagi serangan nekad oleh sekumpulan lelaki bersenjata terhadap Balai Polis Ranget, Narathiwat beberapa hari sebelumnya, yang menyebabkan seorang pegawai polis maut dan lima cedera.

"Kami minta orang ramai supaya usah panik. Biarpun ada serangan terbaru itu, keadaan di selatan Thailand secara menyeluruh kini beransur baik," kata Udomdej kepada media hari ini mengenai keganasan terbaharu di wilayah itu.

Udomdej, yang juga mengetuai "Kabinet Hadapan" mengenai selatan Thailand, berkata walaupun keganasan berlaku dari semasa ke semasa, tetapi pasukan keselamatan menjalankan tugas mereka dengan cemerlang.

Kerajaan membentuk "Kabinet Hadapan" akhir tahun lepas yang turut dianggotai agensi yang menangani isu berkaitan pembangunan, tenaga kerja, pendidikan dan ekonomi, bagi menangani secara berkesan masalah di selatan Thailand.

Menurut Udomdej, badan khas itu akan mengatasi masalah ekonomi di selatan negara ini dengan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka.

"Sekiranya kami berjaya dalam bidang ekonomi, akhirnya, ia akan membawa kepada keamanan di wilayah ini," katanya.

Konflik yang berlarutan selama bertahun-tahun antara kerajaan dan kumpulan militan di empat wilayah di selatan Thailand meragut lebih 6,000 nyawa orang awam dan anggota pasukan keselamatan.

Kerajaan Thailand dan Mara Patani (Majlis Syura Patani), badan induk yang mewakili beberapa kumpulan di selatan Thailand, terlibat dengan proses damai yang diatur Malaysia.

Bulan lepas, kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan "Zon Keselamatan" atau kawasan babas daripada keganasan di wilayah selatan, walaupun lokasi sebenarnya masih dirunding.

-- BERNAMA

 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution