Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Teruja Menyapa Penghuni Kinabatangan Hilir
Last update: 23/06/2014

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali


SANDAKAN (Bernama) -- Tepat pukul 5.00 petang, penulis dan rakan-rakan telah bersedia untuk menaiki bot dari jeti Resort Myne, di Kampung Bilit, Sabah untuk menyusuri Sungai Kinabatangan Hilir.

Sebaik sahaja jurupandu kami membelokkan arah bot menghala sungai, tidak semena-mena seekor buaya bersaiz kira-kira dua meter timbul dari dalam sungai di jarak tidak sampai 15 meter dari kedudukan bot kami.

Kehadiran reptilia itu membuatkan kami panik seketika, tetapi dalam masa yang sama, perasaan itu segera bertukar kepada teruja kerana itulah kali pertama masing-masing melihat buaya liar di hadapan mata.

Kami menunggu beberapa saat sehingga buaya itu beredar sebelum meneruskan perjalanan petang itu ke satu daripada cabang sungai iaitu Sungai Tenigang.

"Lagipun buaya sebenarnya lebih takutkan bunyi bising enjin bot dan jika diberi pilihan mereka tidak mahu pun bertembung dengan manusia," kata jurupandu alam kami.

Kami amat bertuah dapat menyusuri sungai dengan Tom, 18, seorang daripada pekerja Myne Resort Kinabatangan yang bukan sahaja cukup mahir dengan selok belok sungai, malah mempunyai mata yang sangat tajam.

Misalnya, beliau dengan mudah ternampak seekor biawak besar sedang diam di atas sebatang dahan pokok dan segera memperlahankan bot, sedangkan kami perlu mengambil masa untuk memerhati dan mencari kedudukan tersembunyi biawak yang sama warna kulitnya dengan dahan berkenaan.

Itu pastinya berkat pengalaman anak muda dari suku kaum Orang Sungai, yang telah biasa turun ke sungai sejak masih kecil lagi.


PRIMAT ENDEMIK

Sepanjang tempoh perjalanan kurang dua jam pada petang itu, kami berjaya menemui 18 kumpulan monyet liar, yang mana 11 daripadanya ialah jenis Monyet Belanda atau Probosis, dan selebihnya monyet jenis Macaque ekor panjang dan Macaque ekor melengkung.

"Biasanya pelancong yang bernasib baik juga dapat melihat Orang Utan liar, bagaimanapun kali ini kita hanya dapat melihat kesan sarang besar primat itu", kata Tom sambil menunjukkan sarang yang terletak tinggi di atas pokok.

Hakikatnya, Kinabatangan adalah satu daripada lokasi dunia yang didiami oleh primat terbanyak, iaitu 10 jenis yang berbeza termasuk primat endemik yang hanya wujud di Kepulauan Borneo iaitu Orang Utan, Langur Maroon, Gibon Borneo dan Proboscis.

Petang itu kami juga dapat melihat pelbagai jenis burung samaada berterbangan bebas dalam kawanan seperti burung Layang-layang atau terbang secara solo termasuk dua spesies berbeza burung Raja Udang, Murai dan beberapa ekor burung helang termasuk Helang Merah.

Kami juga ternampak sekawan burung Enggang Merantua, sepasang Enggang Badak, tiga ekor Enggang Jambul Putih dan seekor Enggang Kelinking.

Paling mudah dilihat di sepanjang sungai sudah tentulah beberapa ekor bangau besar berparuh kuning dan bangau kecil berparuh hitam di tebing sungai.

Sepanjang perjalanan, kami berselisih dengan belasan bot pelancong lain yang mana semuanya membawa pelancong asing samaada berkulit Kaukasia atau Jepun dari berbelas rumah inap pengembara bajet di sekitar sungai Kinabatangan Hilir ini.

Menariknya, semua tekong bot mengenali satu sama lain dan saling membantu bertukar-tukar maklumat mengenai pemandangan menarik haiwan liar yang dilihat.

Dalam perjalanan pulang ke Resort Myne, kami bukan sahaja diujakan oleh pemandangan senja jingga yang amat indah tetapi juga oleh sepasang buaya sepanjang kira-kira 1.5 meter yang sedang berehat di atas beting pasir berhampiran kawasan tebing sungai yang dipenuhi rumput.


DINGIN DAN BERKABUS

Kami diberitahu pengalaman menyusuri sungai pada waktu pagi berkemungkinan membolehkan kami melihat spesies haiwan yang berbeza berbanding pemandangan pada waktu petang.

Lantas kami mengambil keputusan untuk menaiki bot pada keesokan harinya dan bertolak tepat pukul enam pagi, bersama Tom sekali lagi sebagai jurupandu alam.

Suasana pada awal pagi itu yang amat hening, dingin dan berkabus sepanjang sungai, tidak menghalang penglihatan kami untuk menyaksikan pelbagai hidupan liar termasuk primat Probosis dan Macaque, serta burung seperti Enggang, Bangau dan Raja Udang.

Nyata kepelbagaian bio-diversiti tebing sungai itu sangat menakjubkan, termasuk pemandangan berwarna-warni oleh puluhan rama-rama pelbagai spesies dengan saiz daripada sebesar syiling lima sen sehingga sebesar tapak tangan yang tidak pernah kami lihat sebelum ini.

Antara yang menarik perhatian ialah sekumpulan rama-rama putih kecil yang mengerumuni sebatang pokok sederhana besar, sehingga ia kelihatan seakan-akan dipenuhi bunga kecil yang sentiasa beralun ditiup angin kencang.


GAJAH PYGMI

Kali ini, Tom membawa kami menuju ke arah Sungai Menanggol.

Sedang kami menyaksikan sepasang monyet Macaque dewasa bergantungan di atas titian gayut getah yang sengaja dipasang bagi menghubungkan kawasan antara dua tebing sungai, beliau menyuruh kami diam.

Beliau kemudiannya meneliti tebing sebelah kiri dan memperlahankan bot menuju ke arah itu sambil membuat isyarat senyap di bibirnya.

Rupa-rupanya, lokasi itu baru sahaja dilawati oleh spesies mamalia terancam Kinabatangan yang amat popular, iaitu Gajah Pigmy.

Sayang sekali, kami hanya terlewat beberapa saat sahaja untuk menyaksikan haiwan ini meneguk air sungai di lokasi berkenaan.

Pada mulanya, kami sangka hanya perlu berpuashati dengan melihat bekas tapak gajah yang bersaiz pinggan makan, tetapi apabila kami memasang telinga, kami dapat mendengar dengan jelas bunyi desiran pokok yang ditempuh oleh gajah itu serta bunyi laungan suaranya yang semakin sayup menghilang.

Kekecewaan tidak dapat melihat gajah unik itu bagaimanapun segera terubat apabila kami ternampak seekor burung Kinabatangan spesies terancam yang biasanya sukar dilihat iaitu Oriental Darter.

Burung itu berupa seakan-akan bangau tetapi berwarna hitam dengan kaki seperti itik.

Ia mempunyai bahagian kepala serta leher yang berwarna kelabu, dan apabila ia mengepakkan sayap, kelihatan jalur-jalur putih memanjang pada pelepah hitamnya.

Pada mulanya, ia dilihat bertenggek di atas ranting kayu kira-kira dua meter dari arah bot.

Kemudian, ia mengejutkan kami apabila tiba-tiba menjunam masuk ke dalam sungai dan tidak timbul-timbul walaupun selepas sekitar satu minit.

Hanya selepas kami beredar dari situ barulah ia muncul semula bersama seekor ikan kecil di paruh kuningnya.


AKTIVITI ALAM

Biasanya, ketika aktiviti pengamatan alam tidak kira di dalam hutan, laut atau sungai, jurupandu alam akan mengingatkan peserta bahawa peluang untuk melihat hidupan liar adalah sangat tipis bergantung kepada nasib.

Ini, bagaimanapun amat berbeza dengan pengalaman menyusuri sungai yang sangat panjang berliku merentasi hutan Kinabatangan Hilir terutama di kawasan Sukau.

Walaupun kawasan Sukau itu begitu kaya dengan pelbagai spesies hidupan liar termasuk spesies terancam yang logiknya lebih sukar ditemui, pengunjung pasti bernasib baik.

Barangkali faktor utama yang membolehkan pemerhatian itu ialah kejayaan inisiatif kerajaan negeri mewujudkan 'Corridor of Life-Lower Kinabatangan' serta santuari hidupan liar yang luas di kawasan itu sejak tahun 2002 lagi, selepas menghentikan semua aktiviti pembalakan sejak kira-kira 25 tahun yang lepas.

Apapun, kami amat berterima kasih kepada Projek Rileaf yang diusahakan oleh Nestle, atas peluang mengunjungi Kinabatangan Hilir bagi menjayakan projek penghutanan semula di lokasi terpilih sebagai sumber makanan penghuni santuari Koridor Kehidupan itu.

Kami sudahpun merancang untuk kembali menyapa penghuni Kinabatangan Hilir ini dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution