Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Tabung Haji Pastikan Jemaah Selesa Walaupun Kerja Pembangunan Di Mekah
Last update: 20/07/2013

Daripada Kamarul Ariffin Md Yasin


MADINAH, 20 Julai (Bernama) -- Tabung Haji (TH) akan memastikan jemaah haji Malaysia tahun ini akan dapat beribadat dalam keadaan selesa walaupun kota Mekah menjalani proses pembangunan dan menaik taraf kemudahan.


Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail berkata TH kini telah bersiap sedia dengan tempat tinggal jemaah haji di Mekah dan Madinah selain persiapan makanan untuk para jemaah yang akan tiba awal September ini.


Katanya, bagi penginapan di Madinah, jemaah akan tinggal di tempat dalam jarak 150 meter dari Masjid Nabawi manakala di Mekah, yang kerja-kerja pembangunan sedang pesat dijalankan, jemaah akan tinggal pada jarak 600 hingga 950 meter dari Masjidil Haram.


"Kita cuba elakkan jemaah tinggal di hotel lebih satu kilometer. Ketika ini banyak kerja pembangunan dijalankan di Kota Mekah dan banyak bangunan dan hotel berdekatan masjid dirobohkan tetapi kita masih dapat kekalkan dalam jarak tak lebih 950 meter," katanya kepada pemberita di Madinah, Sabtu.


Katanya, seperti tahun-tahun lepas, 800 petugas TH terlibat pada tahun ini termasuk petugas yang menjaga kebajikan dan perubatan bagi memastikan keselesaan para jemaah.


"Kita akan kekalkan jumlah itu walaupun terdapat pengurangan jemaah tahun ini (oleh kerajaan Arab Saudi). Kita ambil peluang kekurangan jemaah untuk beri lebih keselesaan kepada mereka (jemaah)," katanya.


Ismee berkata jemaah sudah dimaklumkan tentang kerja-kerja pembangunan yang sedang dijalankan di Mekah yang memungkin keadaan lebih sesak dan berhabuk, yang memerlukan jemaah mengambil langkah lebih berhati-hati dan memakai topeng muka.


Mengulas mengenai keputusan kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji jemaah Malaysia 20 peratus daripada 27,900 kepada 22,320, katanya TH akur dan menerima keputusan itu.


"Kerja-kerja pembangunan dijangka memberi kesan terutama ketika tawaf. Jika dulu tawaf setiap jam boleh melibatkan 48,000 jemaah, kini hanya 22,000.


Bukan hanya Malaysia, semua negara. Malah kuota negara mereka sendiri dikurangkan sehingga 50 peratus," katanya.


Mengenai kos, katanya para jemaah muassasah yang kali pertama masih dikenakan kadar haji RM9,980 seorang sedangkan kos sebenarnya adalah RM15,555, iaitu TH menanggung kos tambahan RM5,575.


"TH tidak menanggung kos jemaah muassasah yang bukan kali pertama kerana kos mereka telah ditanggung sebelum ini. Yang tinggi adalah kos penginapan kerana selepas haji tahun lepas ada perobohan bangunan termasuk hotel yang menyebabkan penawaran berkurangan," katanya.


Ismee berkata jika dibandingkan dengan negara jiran, paling rendah kos haji adalah RM16,000 sedangkan tempat tinggal mereka dua, tiga kilometer dari Masjidil Haram, selain itu TH menyediakan banyak kemudahan lain berbanding negara lain.


Dalam perkembangan berkaitan, Ismee berkata dua kompleks haji yang baru mula beroperasi tahun ini di Alor Setar, Kedah dan Kuala Nerus, Terengganu bagi memudahkan jemaah berangkat terus dari pantai timur dan utara.


"Urusan penerbangan dah selesai. Tahun ini kita menggunakan dua syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines dan Saudi Air," katanya.


--BERNAMA



 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution