Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Jangan Ambil 'Mudah' Amanah Rakyat
Last update: 08/05/2013

Oleh Sakini Mohd Said



SEREMBAN (Bernama) -- Akhirnya, segala penantian dan persoalan yang membelenggu selama ini berhubung parti mana bakal menerajui kepimpinan negara untuk lima tahun akan datang, sudahpun terjawab.



Bagi mereka yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tidak kiralah dari Barisan Nasional (BN) mahupun pakatan pembangkang (PR), semestinya ucapan tahniah menyelubungi diri.



Kepada yang kalah, usahlah terlalu kecewa sehingga membawa diri ataupun bermatlamat membuat kekacauan dan menghasut rakyat berdemonstrasi, hanya disebabkan faktor 'kepentingan diri'.



Terimalah ia dengan hati terbuka dan hormatilah keputusan itu sepenuhnya kerana ia bertitik-tolak daripada sanubari, suara rakyat sementelah sekian lama membuat perhitungan dan diterjemahkan menerusi pengundian pada Ahad lepas (5 Mei).



Ini juga adalah selaras dengan prinsip demokrasi negara apabila 'kata rakyat' menjadi penentuan kepada bakal kepimpinan dan pemerintah.



HARUS MULA BEKERJA



Dalam pada itu, bagi mereka yang berjaya merangkul gelaran anggota Parlimen mahupun anggota Dewan Undangan Negeri hasil daripada 'jasa pengundi', sewajarnya gerakan kerja dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat sudahpun bermula.



Mereka harus ingat bahawa terpilih sebagai wakil rakyat bukanlah sekadar mendapat status 'Yang Berhormat' tetapi berdepan dengan amanah berat yang harus direalisasikan dengan penuh tanggungjawab dan integriti.



Apatah lagi, fungsi wakil rakyat sebagai 'jambatan perhubungan' dalam menyuarakan permasalahan rakyat kepada pengetahuan kerajaan adalah sangat penting, justeru 'Yang Berhormat' seharusnya sentiasa bersedia dan bersemangat waja dalam menawarkan perkhidmatan.



Janganlah terbuai-buai dengan gelaran diterima, malah sahsiah diri seharusnya dirancakkan setiap masa dengan perjuangan penuh membara dan berkobar-kobar dalam membela nasib rakyat.



SUDAH TIDAK NAMPAK MUKA



"Seminggu dua bolehlah nampak muka, kemudian lama kelamaan terus dah tak nampak. Bawa kereta pun laju dah tak mahu dah berhenti sekejap macam dulu,".



Biarpun pandangan ini tidak mewakili semua, namun kegusaran ini tetap merungsingkan pemikiran pengundi dan itu yang didengari penulis semasa meluangkan masa di sebuah kedai kopi berlokasikan di bandar Seremban.



Kata mereka, konsep 'turun padang' hanyalah meriah, hangat pada musim demam pilihan raya, kemudian suhunya yang mencanak naik itu mula kian reda, menurun dari hari ke hari.



Perbualan ini yang berlangsung sejurus sehari selepas hari pengundian, merungkai kepada satu kesimpulan bahawa masih ada yang sinikal terhadap pemilihan 'wakil' biarpun ia adalah ketentuan mereka sendiri.



Daripada satu sudut, mereka mengulas mengenai kepikatan untuk memilih calon berkenaan berdasarkan keikhlasan, gerakan kerja, namun ada juga yang mula lupa akan amanah diberikan apabila rasa selesa menyelubungi diri.



Disebabkan itulah, pengaplikasian konsep 'turun padang' haruslah sentiasa diaktifkan, dampingilah mereka setiap masa bagi memastikan bahawa pemilihan yang dibuat adalah betul.



"Saya cumalah orang biasa, cuma ingin memberi pesanan kepada wakil rakyat terpilih supaya terus meluangkan masa berjumpa dengan pengundi. Apabila ada jemputan kenduri kahwin, penuhilah.



"Kalau tidak boleh semua, satu dua pun (menghadiri apa-apa sahaja jemputan program kemasyarakatan ataupun kebajikan rakyat) tidak mengapa. Janganlah asyik hantar wakil sahaja," kata bekas tentera Mohd Saad Harun kepada Bernama.



SILA BERURUSAN DENGAN PA SAYA



Sudah namanya pun 'wakil rakyat', justeru kepada merekalah rakyat bergantung harapan dalam memperjuangkan taraf hidup dan kesejahteraan mereka tanpa adanya persempadanan kaum.



Ini juga yang dijanjikan ketika hangatnya berkempen ke hulu ke hilir, meredah segenap pelosok kampung semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan rakyat. Janganlah disia-siakan ataupun mengambil mudah akan sesuatu perkara biarpun ia hanyalah soal permasalahan 'longkang' sahaja.



Mohd Saad menaruh harapan agar wakil rakyat pilihannya itu adalah seorang yang mudah berurusan dan tidak sekadar menyerahkan semuanya kepada pembantu ataupun orang bawahannya sahaja.



"Ada wakil rakyat katanya membuka pintu pejabatnya untuk mendengar segala permasalahan. Tetapi apabila pergi, dia (wakil rakyat) tidak ada dan semuanya suruh berurusan dengan 'PA' atau setiausaha.



"Waktu berkempen, berjanji sakan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. Tetapi, apabila hendak berjumpa pun susah, jadi bagaimana? Saya amat berharaplah mereka yang terpilih ini bekerja keras dan menunaikan segala janji," katanya.



CUKUPLAH BERPOLITIK



Setelah berjaya terpilih sebagai 'wakil rakyat' maka gerakan kerja yang bermula dan bukannya sibuk berpolitik ke sana ke mari sehingga lupa akan objektif memperjuangkan kehidupan rakyat.



Lagipun, rakyat sudah 'muak' dengan perihal politik kerana sebelum ini sudah banyak disajikan dengan perkara itu. Bagi mereka, apa yang penting adalah melihat calon dipilih bekerja keras selepas habisnya pilihan raya dan bukannya sibuk menyalahkan itu dan ini.



Rakyat juga ingin tahu bagaimana wakil rakyat pilihan mereka itu mencongak perancangan dalam pengurangan kos kehidupan dan pada masa sama meningkatkan pendapatan bulanan serta tahunan mereka.



Mengulas isu politiking, seorang kontraktor, Mohd Afudzal Abu Bakar, 40, berkata masa depan rakyat yang lebih baik bergantung kepada corak kepimpinan, maka penekanan kepada strategi pencaturan 'agenda' amat penting.



Lagipun, ada ketikanya perbalahan dalam masyarakat boleh berlaku apabila isu politik sentiasa berkumandang walhal perpaduan amat diperlukan dalam merealisasikan agenda pembangunan negara.



"Bagaimana negara dan masa depan rakyat hendak cemerlang sekiranya dalam sesebuah masyarakat ada berpuak-puak? Bagi saya, wakil rakyat yang terpilih ini hendaklah juga membuat pelbagai program yang mendokong kepada perpaduan masyarakat," katanya.



Tambahnya, ini (perpaduan) juga adalah antara tumpuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila melihat keputusan pilihan raya kali ini adalah menjurus kepada konsep polarisasi kaum.



JANGAN SOMBONG



Sebagaimana anda merendahkan diri ketika meraih undian daripada masyarakat, maka begitu jugalah yang harus diamalkan apabila sudah memegang gelaran 'Yang Berhormat'.



Tidak usahlah berlagak sombong ataupun angkuh dengan rakyat sehinggakan sanggup membezakan status diri, makan berasingan dengan penekanan kepada penyempadanan antara VIP, VVIP, kerana tanpa sokongan 'rakyat' siapalah anda.



Walhal, ketika seronok berkempen boleh pula makan semeja, bersalaman dengan mereka dan menjenguk setiap rumah dalam menambat hati pengundi.



Kata Mohd Afudzal, janganlah pada awalan sahaja amalan sikap sedemikian kerana wakil rakyat adalah individu yang kaya dengan budi bahasa, menghormati sesiapa sahaja tanpa adanya istilah perbandingan masyarakat.



PENILAIAN MASYARAKAT



Ingatlah, bahawa anda sudah terpilih dan kini bahu menggalas akan harapan, amanah serta mandat yang diberikan rakyat. Boleh untuk berasa gembira kerana berjaya dalam pertarungan sengit apatah lagi apabila pilihan raya kali ini digelar 'ibu segala pilihan raya'.



Namun, janganlah leka dengan panggilan dan gelaran 'Yang Berhormat' kerana tonggak kesejahteraan rakyat bergantung kepada corak kepimpinan anda. Janganlah sekadar menjadi wakil rakyat lima tahun sekali barulah terhegeh-hegeh bertemu dengan mereka hanya kerana pilihan raya kembali menjengah tiba.



Anda harus ingat, setiap masa, hari, bulan dan tahun, rakyat senantiasa membuat penilaian akan perkhidmatan diberikan dalam sesuatu penggal seseorang itu memegang status sebagai ahli parlimen mahupun ahli dewan undangan negeri.



Justeru, tunaikanlah segala janji anda, kewajipan sebaik mungkin dan penuh berintegriti sebagai tanda 'terima kasih' kepada rakyat.



-- BERNAMA



 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution