Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Perbuatan Pemimpin Pembangkang Di Istana Negara Jadi Testimoni Sikap Mereka
Last update: 14/04/2012

KANGAR, 14 April (Bernama) -- Perbuatan beberapa pemimpin pembangkang mempersenda dan mengejek Raja-raja Melayu menjadi testimoni mengenai sikap sebenar mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.



Menurutnya, perbuatan semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara pada 11 April lalu, adalah keterlaluan.



"Belum lagi berkuasa dah tunjuk kuasa mereka," kata Rais semasa berucap pada majlis perasmian Program Merakyatkan Seni dan Budaya, Komuniti 1Malaysia bersama masyarakat keturunan Siam peringkat negeri Perlis di sini hari ini.



Beliau turut menyifatkan sikap pemimpin-pemimpin pembangkang yang sebelumnya diberi penghormatan menghadiri istiadat itu sebagai mencabul negara mereka sendiri.



"Mereka tidak boleh diharap untuk menerajui pentadbiran negara ini," katanya.



Rais menasihati rakyat negara ini supaya mengamalkan budaya murni dan tidak mengikut gelagat pembangkang yang tidak menghormati Raja-Raja Melayu.



Beliau mengesyorkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan program yang boleh meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai asas perlembagaan negara.



Pengetahuan asas perlembagaan itu akan menjadikan rakyat lebih menghargai negara yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum dan budaya.



Rais dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu kemudiannya secara bersama melancarkan program yang berlangsung di Kolej Jururawat Masyarakat, Behor Pulai itu dengan gimik mencedok air daripada guri dan menuangkannya ke dalam buluh.



Serentak dengan itu, jentera bomba turut memancutkan air ke udara bagi membolehkan masyarakat keturunan Siam menyambut pesta Songkran atau pesta simbahan air yang menjadi budaya masyarakat keturunan itu sejak turut-temurun.



Pada majlis itu juga, Rais turut menyampaikan 20 unit komputer riba 1Malaysia kepada para pelajar, kumpulan seni budaya dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Behor.



Beliau turut menyampaikan set alat muzik pergendangan Siam kepada badan budaya Kampung Padang Jelutong,



Sebelum itu, Rais bersama Menteri Besar Perlis melawat tiga buah rumah penduduk daif di Kampung Padang Patani dekat sini untuk memberi bantuan barangan keperluan harian serta wang RM500 kepada setiap keluarga.



Sementara itu, Pengerusi Persatuan Siam Perlis, Datuk Siw Chun a/p Eam berkata, pesta Songkran yang disambut masyarakat keturunan Siam hari ini telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia.



Masyarakat berbilang kaum telah memupuk perpaduan dan ikatan silaturahim melalui festival ini kerana acara simbahan air bukanlah satu bentuk acara keagamaan sebaliknya sebagai tradisi, katanya.



Menurutnya, terdapat lebih 60,000 rakyat keturunan Siam di negara ini dan 6,000 daripadanya menetap di Perlis.



-- BERNAMA

 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution