Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
UMNO Terus Jadi Benteng Orang Melayu
Last update: 08/12/2017

Oleh Kurniawati Kamarudin


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Gendang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan dipalu bila-bila masa dari sekarang pastinya dinanti dengan penuh rasa cemas dan debar terutamanya 3.6 juta ahli UMNO.

"Perang" yang bakal meletus dijangka menyaksikan pertarungan sengit dengan masing-masing pihak mahu memastikan meraih kemenangan unggul.

Ramai termasuk pemerhati politik mentakrifkan PRU14 adalah "ibu segala pilihan raya"  terutama bagi UMNO parti memerintah yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO mengungkap "perang kali ini yang bergelar segala pilihan raya kita akan bertempur, berlawan, lawan habis-habisan."

Untuk itu, setiap ahli parti berperanan untuk memastikan kemenangan besar berpihak kepada BN dan meskipun UMNO dilihat semakin matang menangkis serangan lawan termasuk dalam media sosial, berdasarkan pengalaman sejak  PRU12 lagi, ujian kali ini dijangka lebih hebat.

Sudah boleh dijangkakan setiap kempen bakal dilapisi dengan pelbagai tohmahan dan fitnah bagi memecahkan sokongan pengundi.

Suara keyakinan daripada Najib yang kini sudah mempersiapkan jentera parti ke tahap maksimum semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini membayangkan saat dan ketikanya semakin hampir.

Beliau mahu barisan kepimpinan parti dan 3.6 juta ahlinya bersama-sama menjunjung teguh tekad serta mengasah tajam mentaliti untuk menang dalam PRU14.


71 TAHUN PERJUANGKAN NASIB MELAYU

Dalam kesibukan menuju pilihan raya, UMNO harus meyakinkan pengundi terutama pengundi Melayu bahawa parti itu yang berkemampuan untuk terus memperjuangkan nasib orang Melayu.

Sejak sebelum merdeka dan kini sudah tujuh dekad menjadi teras perjuangan orang Melayu, UMNO perlu kembali kepada prinsip perjuangan asalnya sepertimana parti lain yang masih relevan di dunia kerana mengekalkan prinsip asas penubuhan mereka, menurut  penganalisis politik Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin.

Katanya jika UMNO bertolak ansur dalam prinsip asasnya maka tidak mustahil ia akan kehilangan sokongan dan semangat penubuhannya yang dianggotai oleh orang Melayu beragama Islam.

"Saya melihat ahli politik Melayu agak selesa dengan kedudukan mereka pada masa lalu dan kini. Ahli Politik UMNO dilihat cuba menangani PRU14 ini dengan cara bukan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu  tetapi lebih kepada untuk menambat hati orang bukan Melayu. Sedangkan undi Melayu adalah amat penting untuk survival  UMNO," katanya yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat, Johor.

Jelasnya ketika ini  terdapat persepsi dalam kalangan orang Melayu bahawa UMNO telah keluar daripada landasan perjuangannya. Perkara ini yang perlu ditangani untuk menarik kembali sokongan itu dan secara tidak langsung akan mengatasi perpecahan dalam politik Melayu.

"Pihak luar boleh mendesak dan UMNO boleh berkompromi tetapi tidak sehingga menggadaikan hak asasi dan maruah Melayu yang diperjuangkannya.

"Mana yang lebih penting? agenda dan ketuanan Melayu atau menjaga hati kaum lain yang sentiasa inginkan sesuatu yang lebih setiap kali pilihan raya?," katanya dan menambah bahawa parti-parti politik di Malaysia mempunyai pelbagai latar belakang dan dalam Barisan Nasional tiga parti utama mewakili kaum masing-masing.


UMNO PERLU TERUS RELEVAN

Masyarakat hari ini juga semakin bijak berfikir terutama generasi baharu yang tidak lagi merasakan semangat patriotik sebagai agenda utama.

Latar belakang pendidikan yang sedia ada lebih menekankan pembangunan teknologi, ekonomi dan kemajuan berbanding bidang sejarah, ketuanan Melayu, bangsa dan  kedaulatan negara.

Jika UMNO tidak lagi menjadi pilihan orang Melayu Islam, kekuatan berpolitik orang Melayu akan semakin hilang. Jesteru UMNO perlu terus relevan dan terus memperjuangkan hak orang Melayu bukannya hak semua orang di negara ini apabila menggunakan topi UMNO, katanya.

"Parti lain memang dilihat tiada keutamaan terhadap agenda Melayu. PKR banyak membawa laluan kepada kaum lain. DAP pula banyak bermain wayang apabila memancing undi Melayu dengan berbaik dengan pemimpin Malayu sedangkan kita tahu mereka adalah parti kaum Cina.

"Isu agenda Melayu  memang akan terkubur jika parti lain memerintah kerana mereka ditubuhkan bukan berteraskan agenda kepentingan Melayu sebaliknya hanya untuk memenangi undi semasa pilihan raya kelak," katanya.

Jelasnya, UMNO perlu melihat secara mendalam perkara ini ditambah dengan wujudnya golongan dalam masyarakat Melayu  yang tidak lagi menaruh kepercayaan kepada sesebuah parti sebaliknya memilih kepada individu yang bertanding.

 Golongan ini lebih mempercayai individu yang diyakini mampu membawa perubahan di kawasan mereka tanpa mengambil kira parti yang diwakili, katanya. 


CALON MAIN PERANAN KEJAYAAN UMNO DALAM PRU-14

Sementara itu, bagi sayap Puteri, UMNO tidak pernah lari daripada matlamat perjuangannya dengan menjadikan agenda memperkasakan orang Melayu sebagai keutamaan parti.

Semua dasar kerajaan yang ada sekarang adalah hasil daripada perjuangan parti tetapi dalam masa yang sama kita tidak mahu kaum lain merasa terpinggir, menurut Exco Pergerakan Puteri UMNO, June Artisha Mohamed Nazari.

"Kerana itu kita sentiasa membuat dasar yang bukan sahaja dapat membantu bangsa Melayu tetapi bangsa lain amnya untuk kemajuan Malaysia," katanya.

Di dalam pilihan raya umum misalnya, hanya dua parti yang benar-benar dominan iaitu Melayu dan Islam yang diwakili UMNO dan DAP yang fahamannya terang-terangan bukan mesra Islam.

Kerana itu banyak siri penerangan harus dijalankan baik melalui media arus perdana atau melalui alam maya untuk menyakinkan hanya UMNO sahaja yang dapat membela dan membantu bangsa Melayu.

Puteri sendiri katanya telah membuat persiapan sebaiknya untuk menghadapi PRU14 ini   tetapi tidak dapat menafikan calon yang dikemukakan dalam pilihan raya nanti turut memainkan peranan penting memastikan kejayaan parti dan BN.

"Pengundi sekarang semakin bijak. Jika calon dirasakan tidak sesuai pastinya rakyat akan terjemahkan ketika waktu mengundi nanti."

Sebab itu BN ada mekanisme baru untuk memilih calon agar yang dipilih mempunyai peluang untuk menang yang tinggi, Ia telah terbukti berjaya dalam siri pilihan raya kecil yang memilihak kepada BN sebelum ini.


PERJUANGAN UMNO KONSISTEN

Perjuangan UMNO yang konsisten sejak awal penubuhannya  pada tahun 1946 hingga sekarang  antara kekuatan yang boleh menawan golongan muda dalam PRU14 sekiranya mereka diberi penjelasan yang tepat.

Perang persepsi yang  berlegar dalam masyarakat terhadap UMNO hingga memberi imej tidak baik perlu diperbetulkan secara berterusan dan Pemuda UMNO bergerak secara aktif  ke akar umbi untuk  menjelaskannya melalui palbagai kaedah, demikian menurut  Ketua Pemuda Teluk Kemang, Najib Isa.

"Perjuangan UMNO bukan retorik kerana jika dinilai kembali orang Melayu tidak akan berada di tahap yang ada sekarang. Apa sahaja dasar yang dilaksanakan BN terasnya mestilah kepentingan orang Melayu dan bumiputera sendiri.

"Sekarang adalah masanya untuk bekerja dengan lebih kuat mendekati golongan muda dan menarik mereka untuk turut mengukuhkan barisan bagi memastikan sokongan diterjemahkan dalam setiap undi kepada UMNO dan BN".

BERNAMA

 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution