Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
UMNO Rantau Panjang Agih Bantuan Kepada 6,000 Mangsa Banjir
Last update: 03/12/2017

RANTAU PANJANG, 3 Dis (Bernama) -- Berpegang kepada prinsip 'membantu tanpa mengira fahaman politik', UMNO Rantau Panjang mengagihkan bantuan kepada lebih 6,000 mangsa banjir di daerah itu sejak Selasa lepas.

Ketua Bahagian UMNO Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin berkata agihan bantuan berupa  barangan keperluan itu bagi memastikan mangsa banjir di setiap pusat pemindahan sementara di daerah berkenaan mempunyai bekalan mencukupi.

"Nak bantu orang susah jangan kita soal dia sokong parti mana, kita bantu saja, ini soal perikemanusiaan, mereka perlukan pertolongan dan kita (UMNO) wajib bantu," katanya kepada Bernama setelah mengagih 200 pek berisi barangan keperluan kepada Madrasah Dia'uddin, Lubok Setol di sini semalam.

Katanya UMNO tidak pernah menyekat bantuan kepada mangsa banjir walaupun Kelantan diperintah parti pembangkang.

"Soal sokong parti mana kita tolak tepi, bantuan wajib disalurkan kepada mangsa kerana ini tugas kita, UMNO telah dididik sejak dulu lagi berpegang kepada prinsip itu," kata Abdullah.

Misi bantuan UMNO Rantau Panjang terpaksa menggunakan khidmat kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Smart dan Rela untuk sampai ke madrasah yang terletak di kawasan pedalaman dan terputus hubungan sejak tiga hari lepas akibat banjir.

Malah misi tersebut terpaksa  mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke lokasi yang terletak 15 kilometer dari pekan Rantau Panjang.

Sementara itu, pengetua madrasah itu, Abdullah Zawawi melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan anggota misi berkenaan membantu mangsa banjir. 

"Memberi pertolongan tidak perlu mengambil kira parti politik kerana pertolongan harus dilaksanakan dengan niat yang ikhlas, saya berterima kasih kepada bantuan yang kami terima daripada UMNO" katanya.

Seorang mangsa banjir di Kampung Tersang, Kalsom Talib, 66, yang lumpuh sepenuhnya akibat strok enam tahun lalu, merupakan antara 20 keluarga yang menerima bantuan daripada UMNO Rantau Panjang yang diedarkan di sekitar Kampung Tersang, Kampung Lachang, dan Pondok Gual Dalam.

Penyampaian bantuan berkenaan dibuat oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Ghazali Ismail bersama lapan sukarelawan lain. Ketiga-tiga kawasan ini merupakan antara kawasan yang terjejas teruk dan terputus hubungan akibat banjir yang melanda Kelantan pada Selasa lepas.

Menurut Muhammad Khairi Che Osman, 35, anak kepada Kalsom, langkah UMNO turun padang dan hantar bantuan dari rumah ke rumah sebenarnya amat membantu keluarga beliau, tambahan pula dengan keadaan ibunya yang lumpuh sepenuhnya.

"Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ramai orang, dengan keadaan mak saya begini yang lumpuh sepenuhnya akan menyusahkan mangsa-mangsa lain, jadi kami pilih untuk duduk di rumah," katanya kepada Bernama.

Rumahnya digenangi air dan beliau terpaksa meninggikan katil ibunya menggunakan kayu serta perabot rumah supaya tidak kena air bah.

Dalam pada itu, Wan Hamidun Wan Adam, seorang daripada mangsa di Kampung Lachang berkata kampungnya langsung terputus hubungan akibat air naik hingga dua meter.

Kampung Lachang yang terletak hanya 100 meter dari anak Sungai Golok dikatakan antara perkampungan yang terjejas teruk.

"Kita kerja kampung menoreh getah, sekarang musim banjir terjejas sikit pendapatan, dengan jalan utama dinaiki air susah untuk kita beli barang keperluan. Kita bukan tak nak pindah ke PPS, tapi biasalah banjir, orang masuk rumah curi barang, bila teruk yang teramat baru kita pindah," katanya.

-- BERNAMA

 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution