Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Wanita Habis Pantang Redah Banjir Di Pantai Remis
Last update: 01/12/2017

BERUAS, 1 Dis (Bernama) -- Seorang wanita yang baru habis pantang bersalin terpaksa menggunakan kudrat yang ada meredah banjir dengan penuh kerisauan demi keselamatan.

Maisarah Adnan, 27, merupakan seorang daripada penduduk terjejas banjir di daerah Manjung yang kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Pantai Remis di sini sejak semalam.

"Saya baru sahaja habis pantang, memang risau dalam keadaan banjir ini kalau berlaku apa-apa sebab jalan licin, tambahan pula anak saya baru sahaja berumur 52 hari," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Maisarah dari Kampung Sungai Batu merupakan antara 963 mangsa daripada 220 keluarga yang ditempatkan di enam PPS di daerah Manjung berikutan banjir akibat hujan lebat sejak Rabu lepas.

Ibu kepada tiga anak itu berkata dia yang baru lapan hari habis berpantang terpaksa meredah air banjir pada paras betis dan menahan kesejukan, selain memberi lebih perhatian kepada anak bongsunya yang baru lahir, Nur Adriana Nabilah Faizal.

"Saya dikejutkan emak kira-kira pukul 4 pagi semalam kerana air mula memasuki rumah. Kami kemudiannya menyelamatkan barangan dan dokumen penting sebelum berpindah ke pusat pemindahan pukul 8 pagi.

"Memang rumah saya selalu dimasuki air tetapi disebabkan saya baru lepas pantang, memang rasa sangat penat dan saya takut jadi apa-apa kepada bayi saya," katanya.

Sementara itu, Desipita Nuryanti, 32, berkata dia terpaksa meredah banjir pada paras betis dan menanggung risiko biarpun kini sedang sarat mengandung anak ketiga.

Desipita yang tinggal di Jalan Batu Tin, Pantai Remis berkata ini adalah kali ketiga dia terpaksa meredah banjir dalam keadaan mengandung, cuma kali ini lebih memenatkan berikutan kandungannya hampir menjangkau usia lapan bulan.

"Tujuh tahun dahulu ketika saya mengandungkan anak pertama, kandungan saya hanya empat bulan sebelum berpindah ke pusat pemindahan berikutan banjir, manakala empat tahun lepas pindah ke pusat pemindahan banjir ketika mengandungkan anak kedua pada usia tiga bulan.

"Banjir kali ini lebih mencabar berikutan keadaan saya yang mudah penat namun tetap gagahkan diri. Memang ada perasaan takut bila memikirkan kandungan saya yang kian sarat,\" katanya yang tinggal bersama dua lagi anak perempuan dan suaminya yang juga seorang nelayan.

-- BERNAMA

 

 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution