Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Dodol Hidangan Wajib Deepavali
Last update: 16/10/2017

Oleh Thivyamalini Ramalu



KUALA LUMPUR (Bernama) -- Dodol adalah antara hidangan wajib ketika sambutan Deepavali bagi sebuah keluarga berketurunan India di Kampung Tun Sambanthan, Ayer Tawar, Perak.



Tidak, ia bukanlah sesuatu yang pelik, namun ianya sangat unik, memandangkan dodol sangat sinonim dengan masyarakat Melayu terutamanya ketika menyambut hari raya.



Malah, inilah keindahan dan keunikan negara seperti Malaysia, di mana rakyatnya yang berbilang kaum saling berkongsi pelbagai aspek kehidupan termasuk hidangan unik bagi menambah pilihan hidangan ketika menyambut perayaan masing-masing. Lagipun, makanan dilihat sebagai elemen penting yang mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat negara ini.



Sepertimana tahun-tahun lepas, selain dodol, perayaan festival cahaya bagi keluarga A. Kandasamy, 61, dan D.Vijaya, 55, pastinya meriah dengan pelbagai hidangan lain seperti tose, putu mayam, muruku, athirasam (sejenis kuih manis), ladu dan hidangan ayam serta kambing.



Walaupun pasangan itu boleh memilih untuk membeli dodol yang sedia ada dalam pelbagai perisa di pasaran tetapi Vijaya lebih suka menyediakan dodol menggunakan kaedah tradisional untuk dinikmati keluarga dan sanak-saudara yang bertandang pada hari Deepavali nanti.



Bagi Vijaya, kerja-kerja mengacau dodol adalah sesuatu yang hanya dilakukan sekali dalam setahun dan suami isteri itu sentiasa ternanti-nanti untuk berbuat demikian kerana ketika itulah ahli keluarganya akan berkumpul.



"Kakak saya, anak lelaki dan anak perempuan, menantu dan dua cucu biasanya balik ke rumah beberapa hari sebelum Deepavali. Ketika itu saya akan masak dodol kerana saya perlukan mereka untuk membantu di dapur.



"Prosesnya lama iaitu kira-kira lapan jam. Kita tak larat kacau dodol itu seorang diri kerana semakin teksturnya likat, semakin berat untuk mengacaunya selain terpaksa menahan bahang panas dapur kayu api," jelas beliau yang mempunyai empat orang anak berumur antara 29 dan 34 tahun.



RESIPI TRADISIONAL



Saban tahun, sejak 29 tahun lepas, Vijaya menyediakan dodol untuk perayaan Deepavali menggunakan resipi tradisional yang diberikan oleh ibu saudaranya, yang belajar cara membuat dodol dari seorang rakan Melayu berketurunan Jawa di Ayer Tawar kira-kira 45 tahun lepas.



Sehingga kini, Vijaya bukan sahaja masih menggunakan resepi asal itu tetapi juga mengacau dodol cara tradisional dengan menggunakan dapur kayu api.



Walaupun terpaksa menahan bahang dapur kayu ketika mengacau dodol selama berjam-jam, bagi Vijaya ianya berbaloi terutamanya apabila melihat cucu-cucunya yang berumur tujuh dan lapan tahun, keluarga serta para tetamu menikmati dodol, muruku dan ladu yang dimasaknya.



Menjelaskan resipi dodolnya, Vijaya berkata hanya tepung pulut, santan, gula melaka, gula pasir dan sedikit garam yang digunakan.



Tambahnya, untuk setiap kilo tepung pulut, sekilo gula melaka, satu setengah kilo gula pasir dan santan daripada lima biji kelapa tua diperlukan.



PETUA MEMBUAT DODOL



Vijaya yang tidak kedekut ilmu turut memberikan petua membuat dodol yang sedap.



Beliau berkata, sebaiknya santan daripada kelapa tua yang tiada tombong digunakan untuk mengacau dodol kerana ia lebih baik berbanding yang mempunyai tombong di mana santannya akan menyebabkan dodol berbau tengik.



Santan perlu diperah dua kali dan beliau menggunakan perahan kedua untuk membuat dodol.



Mengulas mengenai petua untuk membuat dodol yang sedap, Vijaya hanya menggunakan tepung yang dikisar secara tradisional dan bukannya tepung pulut yang sedia dipaket.



Berkongsi cara membuat dodol, Vijaya memberitahu bahawa, pertama sekali masukkan santan ke dalam kawah dan dibiarkan mendidih sebelum menambah gula merah dan daun pandan diikuti tepung pulut dan garam secukup rasa.



"Campuran itu dikacau sehingga likat. Ia perlu dikacau sentiasa agar bahagian bawah dodol tidak hangit di kawah," tambahnya untuk mengetahui jika dodol itu telah cukup masak, ia tidak akan melekat pada tangan bila disentuh.



Setiap tahun, apabila tiba masanya mengacau dodol untuk Deepavali, Vijaya pasti teringatkan kejadian lucu yang berlaku pada awal 1990an ketika anak-anaknya masih kecil.



"Anak bongsu saya, Sivananthan, berumur enam tahun ketika itu, bermain-main lalu mencampakkan segengam tanah ke dalam kawah yang penuh dengan santan ketika saya bersedia untuk mengacau dodol.



"Nasib baik kami nampak dan cuma baru santan yang ada di dalam kawah tu. Santan itu terpaksa dibuang. Jika tidak, saya tidak tahu bagaimana rupa dan rasa dodol tu!" tambahnya sambil ketawa.



-- BERNAMA

 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution