Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Jalinan Perniagaan Usahawan Melayu Merentasi Sempadan Menawarkan Sokongan
Last update: 27/07/2017

Oleh Massita Ahmad


SINGAPURA, (Bernama) -- Bagi sekumpulan ahli perniagaan di Singapura dan Malaysia, menceburi bidang perniagaan bukan semata-mata berpandukan kepada keuntungan.


Mereka adalah sekumpulan usahawan yang mempunyai asas perjuangan yang sama yang cuba dilaksanakan melalui pembangunan perniagaan yang mereka usahakan.


Bagi pemilik syarikat Suez Domain Sdn Bhd, Datuk Yasran Hussain beliau amat berharap setiap pemilik rumah Residensi Kerinchi yang terletak di Kampung Kerinchi (sekarang dikenali sebagai Bangsar South) tidak sewenang-wenangnya menjual rumah yang mereka miliki kini yang bernilai kira-kira setengah juta Ringgit.


Suez Domain merupakan pelaksana projek Residensi Kerinchi yang dibangunkan di kawasan lebih 2.8 hektar di atas tapak bekas Flat Empat Tingkat, Kampung Kerinchi yang telah diruntuhkan.


"Bukan sesuatu yang mudah untuk membangunkan projek ini. Ia melibatkan hampir 500 penduduk Flat Empat Tingkat pada asalnya. Untuk meyakinkan mereka bahawa projek ini akan berjaya bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.


PROJEK DARAH DAN AIR MATA


Yasran mengakui dalam usaha beliau untuk menyiapkan projek terlalu banyak air matanya tumpah dalam menghadapi pelbagai cabaran.


Beliau turut kehilangan rakan kongsi perniagaannya kerana rakan kongsinya itu tidak yakin projek ini boleh diteruskan.


Yasran bertegas untuk meneruskan projek ini walaupun rakan kongsinya sudah bersedia mengambil jalan mudah yakni menjual projek tersebut dengan nilai RM30 juta namun Yasran bertekad untuk menyelamatkannya kerana mengenangkan majoriti penduduk yang terlibat adalah Melayu.


Flat Kampung Kerinchi yang mula diduduki pada tahun 1971 ketika itu mempunyai keluasan hanya 300-450 kaki persegi sahaja namun para penduduk asalnya kini dapat hidup lebih selesa di Residensi Kerinchi yang berkeluasan 900 kaki persegi lengkap dengan kemudahan kolam renang, surau, taman permainan dan sebagainya tanpa sebarang bayaran berdasarkan konsep 'trade-off' (tukar ganti).


Residensi Kerinchi telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari 2017.


JIWA KENTAL


Sebagaimana Datuk Yasran yang menghadapi pelbagai dugaan dalam mendukung satu perjuangan begitu juga dengan Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, pemilik Tanah Aina Resorts yang pernah dua kali bermalam di lokap gara-gara tindakan beliau menghalang pembalakan haram satu ketika dahulu.


Usahawan dan aktivis alam sekitar ini tidak pernah gentar untuk memperjuangkan kasih sayangnya terhadap hutan dan alam sekitar.


"Saya tidak membenarkan satu batu sungai pun dialihkan ketika pembinaan Tanah Aina Resorts dijalankan. Sebatang pokok juga saya tidak benarkan pemaju menebangnya," kata beliau.


Usahawan pelancongan eko yang berjaya ini menamakan Tanah Aina Resorts bersempena nama anak-anak dan cucu beliau.


Organisasi Tanah Aina memiliki 10 lokasi yang kebanyakannya di Pahang, Johor, dan Selangor iaitu Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort di Bentong, Pahang; Tanah Aina Farhana BeachFront Resort di Desaru, Johor; Tanah Aina Fareena Orchard Resort di Karak, Pahang; Tanah Aina Azareena Seafood Steamboat Restaurant di Bentong, Pahang; Tanah Aina Farouq Durian Orchard Resort di Raub, Pahang; dan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Raub, Pahang.


WIRA RAYA 2017


Tidak lama lagi wanita berjiwa kental ini akan membuka Tanah Aina Azfer Camping Orchard, Hulu Langat, Selangor dan Tanah Aina Fatih Camping Orchard di Raub, Pahang.


Shariffa Sabrina juga merupakan seorang jurulatih kecergasan yang suka memasak dan tidak hairanlah apabila beliau juga mempunyai sebuah kafe dan pusat kecergasan di Batu 3, Shah Alam yang mengekalkan jenama Tanah Aina.


Yasran dan Shariffa Sabrina telah berkongsi kepakaran, pengalaman dan pengetahuan perniagaan merekadi Wira Raya 2017 yang dianjurkan oleh Malay Entrepreneurs Across Borders atau WAREIS, sebuah rangkaian perniagaan para usahawan yang merentasi sempadan baru-baru ini.


Wira Raya 2017 diadakan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri dan pada masa yang sama menyediakan satu platform strategik untuk para usahawan dan pemilik perniagaan bersuai kenal.


Wira Raya 2017 ini diadakan di dua tempat iaitu di Restoren Mamanda dan Agrobazaar Malaysia yang terletak di Istana Kampong Glam dan Masjid Sultan yang bersejarah dan dihadiri oleh tokoh-tokoh berpengaruh, pemain-pemain utama industri dan mentor yang turut melakukan perkongsian.


SOKONGAN UNTUK USAHAWAN MERENTASI SEMPADAN


Pertubuhan Wanita Dalam Perniagaan dan Pemikiran Kreatif Malaysia (PEWANGI) merupakan persatuan pertama yang menjalinkan rangkaian bersama WAREIS pada bulan April lalu di The Sultan Singapore dan sekali lagi pada bulan Mei di Velvet Saffron Johor, Malaysia.


Berdasarkan kepada idea yang para usahawan memerlukan sokongan lebih-lebih lagi apabila mereka memiliki perniagaan di luar negara ataupun di seberang tambak, WARIES dan PEWANGI telah berkongsi, berbincang dan merancang kerjasama.


Selaian Yasran dan Shariffa Sabrina, Datin Nik Faridah Salleh, Presiden PEWANGI, dan Ahmad Ruzizan Maphilindo Isa, Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pembinaan Mampan (MAMPAN) juga telah berkongsi pengalaman mereka semasa majlis tersebut.


Turut hadir adalah Roslinah Rajab, penganjur WAREIS; Raphy Md Radzi, Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE); Hawazi Daipi, perwakilan Singapura dalam Palestinian National Authority; Shamir Rahim, Presiden Dewan Perdagangan Melayu Singapura dan Industri (SMCCI).


PEWANGI turut mengundang anggota-anggota usahawannya antaranya Orket Abdullah, pemilik Orchid Golden De Table; Marzianah Dasron, usahawan Seri Wajah Bonda Enterprise; dan Azlinda Kamaruddin dari Tapah Station Cafe.


BERKONGSI PENGALAMAN BERHARGA


Sementara itu, Roslinah berkata WAREIS dan PEWANGI akan bekerjasama untuk membawa agenda yang sama ke Indonesia dan lokasi pilihan adalah Indramayu, Jawa Barat tidak lama lagi.


"Saya tidak menyangka sokongan terhadap inisiatif begini begitu menggalakkan daripada 'speaker' yang sanggup hadir berkongsi pengalaman berharga mereka," katanya.


Malah, Roslinah berkata usahawan yang hadir juga mengeluarkan 'duit poket' sendiri untuk menimba pengalaman yang dikongsi daripada tetamu undangan selain untuk memahami pasaran di Singapura menerusi MATRADE dan SMCCI.


Nik Faridah pula meminta agar usahawan yang mempunyai produk yang baik agar tidak terlalu bergantung denga dana kerajaan untuk memajukan perniagaan mereka.


"Terdapat 'crowd funding' yang begitu besar di luar sana di dalam dan luar negara yang mencari-cari produk yang baik untuk mereka laburkan wang mereka.


Anda harus mula mengejar dan menarik perhatian mereka ini," katanya.


-- BERNAMA

 <Back>


 


 

OPENING, TUESDAY, MAR 9
US4.1180/1230
S'pore3.0479/0520
100 Yen3.7752/7805
Sterling5.6882/6967
Euro4.8769/8833
Source: Bank Negara Malaysia

Reduction in the overnight policy rate (OPR) by Bank Negara Malaysia would be good for consumer spending and investment;
Yes
No
Not sure
 
  Main | News | Insurance

© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy| Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution